Media Sosial
Pusat Kemajuan Dan Hubungan Alumni | Malam Apresiasi Alumni Industri hargai 160 industri tingkat peratus kebolehpasaran graduan
alumni,uthm,fkaas,fkee,fkmp,fptp,fsktm,ppd,pps,fptv
16651
post-template-default,single,single-post,postid-16651,single-format-standard,ecwd-theme-bridge,ajax_fade,page_not_loaded,,side_area_uncovered_from_content,qode-theme-ver-10.1.1,wpb-js-composer js-comp-ver-5.0.1,vc_responsive
 

Malam Apresiasi Alumni Industri hargai 160 industri tingkat peratus kebolehpasaran graduan

Malam Apresiasi Alumni Industri hargai 160 industri tingkat peratus kebolehpasaran graduan

Bangi  – Bagi menghargai pihak industri yang banyak memberi peluang pekerjaan kepada graduan universiti, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Kemajuan Dan Hubungan Alumni (CARE)  telah mengadakan  Majlis Malam Apresiasi Alumni Industri UTHM yang berlangsung pada 19 Mei baru-baru ini bertempat  di Bangi Golf Resort.

Majlis tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 250 alumni UTHM bersama wakil Pegawai Sumber Manusia dari 160 industri dan sektor korporat. Malam penghargaan berkonsepkan majlis makan malam ini diadakan bagi menghargai pihak industri terkemuka di negara ini yang selama ini telah memberi peluang pekerjaan kepada graduan UTHM khususnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.

Naib Canselor, Profesor  Dr. Wahid Razzaly berkata penganjuran majlis penghargaan ini dilihat sebagai salah satu tanda terima kasih universiti kepada pihak industri dan alumni yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu mempromosi graduan UTHM memasuki arena pekerjaan.

“Universiti amat menghargai sumbangan pihak industri yang sentiasa memberi peluang kepada graduan UTHM dengan memberikan peluang pekerjaan dan kepercayaan kepada mereka untuk terus menerajui bidang pekerjaan sekali gus membantu meningkatkan produktiviti sektor industri di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah CARE, Profesor Madya Dr. Adnan Zainorabidin dalam ucapannya berkata program yang julung kali dianjurkan ini telah mewujudkan satu hubungan positif kerana telah berjaya mencatatkan kehadiran memberangsangkan daripada 160 industri bersama-sama alumni yang bekerja dalam industri tersebut selain dapat meraih tajaan dan sumbangan ikhlas berupa wang tunai dan barangan daripada alumni dan badan korporat berjumlah RM20 ribu.

Turut diadakan sesi “Penyampaian Anugerah Ikon Alumni Industri” yang diberikan kepada  alumni UTHM yang telah berjaya dalam bidang industri mahupun korporat. Ikon Alumni terbabit melibatkan Pengarah Urusan CSK Murni Sdn. Bhd., Dr. Sivakumar A/L Chinnasamy;Pengarah Urusan Mohaz Engineering & Technology (M) Sdn. Bhd., Azian Md Rasol; Ketua Pegawai Eksekutif ASP Pro Sdn. Bhd., Suria Affendi Amirrudin; Pengarah Chenta Watie Scarf  dan Arena Sawit Setia Jaya, Arena Canopy, Hazree Yaacob; Pengarah Urusan AR Group Company, Dato’ Anuar A Rahman; Penolong Pengurus Besar Syarikat  Bekalan Air Selangor Berhad, Mohd Yusri Abu Samah dan Timbalan Pengurus Besar Top Glove Sdn. Bhd, Mansor Daud.

Manakala alumni UTHM, Mohd Azlan Mohd Sharif pula telah menerima “Anugerah Khas Ikon Alumni UTHM 2017 (Ikon Aktivis Sosial Dan Kemasyarakatan).” Anugerah ini diberikan atas sumbangan aktif beliau dalam menjalankan aktiviti sosial kesukarelawan dan kemasyarakatan meskipun sibuk bertugas sebagai Pegawai Kesihatan dan Keselamatan di sebuah syarikat pembinaan. Segala bentuk sumbangan yang dicurahkan itu sekali gus menaikkan lagi nama universiti di mata masyarakat.

Turut disampaikan Sijil Penghargaan Industri dan Korporat kepada 30 industri dan badan korporat terkemuka antaranya Sirim QAS International Sdn. Bhd, Petronas ICT, Heitech Padu Berhad, Epson Malaysia dan Fujitsu Component (M) Sdn. Bhd. Penghargaan tersebut mengambil kira sumbangan industri yang telah membuka peluang pekerjaan kepada alumni UTHM di mana setiap syarikat terbabit menempatkan minimum lima orang alumni, yang secara tidak langsung turut membantu meningkatkan peratusan kebolehpasaran graduan UTHM. Sesi penyerahan Sijil Penghargaan dan Anugerah itu telah disampaikan oleh Profesor Dr. Wahid.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Profesor Dr. Ruzairi Abdul Rahim; Pengarah Pejabat Strategik dan Komunikasi Korporat (PSKK) UTHM, Prof. Dr. Noraini Kaprawi; Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr. Azme Khamis dan Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman.

No Comments

Post A Comment